Belanjawan 2021: Sektor pendidikan masih kabur dan tak menentu – Dr Maszlee

Belanjawan 2021: Sektor pendidikan masih kabur dan tak menentu – Dr Maszlee

AHLI Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyifatkan Belanjawan 2021 bagi sektor pendidikan masih lagi kabur dan tidak menentu.

Katanya, beliau telah memperincikan tujuh soalan penting kepada Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, pada 8 November lalu dan ditanya sekali lagi ketika membuat perbahasan Belanjawan 2021 pada 16 November lalu.

“Namun ketika membacakan teks penggulungan perbahasan beberapa hari lepas, YB Senator Menteri Pendidikan tidak mengendahkan soalan-soalan yang diutarakan.

“Soalan-soalan itu membabitkan nasib pemegang taruh terbesar dalam sektor pendidikan seperti anak-anak dari keluarga miskin, pekerja-pekerja kantin dan pengusaha bas sekolah.

“Kepedulian terhadap mereka amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, Mohd Radzi tidak menjawab soalan bagaimana Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengatasi isu lebih 600,000 anak golongan miskin dan B40 yang tidak mendapat bekalan makanan sihat melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“YB Senator Menteri Pendidikan tidak menjawab isu pengusaha kantin serta lebih dari 70,000 pekerja kantin yang terjejas akibat penutupan sekolah. Apakah 70,000 pekerja kantin ini tidak penting?

“YB Senator Menteri Pendidikan tidak menjawab isu guru duka lara serta status pergerakan guru yang telah lama tersekat akibat PKP.

“Bahkan, YB Senator Menteri Kanan menjawab akan menyediakan hanya 150,000 laptop untuk kegunaan murid di 500 sekolah ketika mengulas isu ketiadaan peranti oleh hampir 37 peratus pelajar di seluruh negara.

“Bagaimana pula dengan lebih dari 1.7 juta murid lain di 9,723 sekolah yang lain?,” soalnya.

Beliau berkata, rakyat juga tidak dapat melihat dengan jelas pelan jangka masa panjang pendidikan anak-anak pasca-pandemik terutama bagi golongan ‘lost generation’ yang telah saya dan Ahli Parlimen lain suarakan.

“Saya membangkitkan isu ini kerana akhirnya jelas KPM tiada hala tuju dalam menangani isu Covid-19.

“YB Senator Menteri Pendidikan juga tidak menjawab pertanyaan saya adakah KPM telah melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh seperti ibu bapa dan kesatuan guru sebelum memutuskan sebarang keputusan penting yang melibatkan masa depan anak bangsa?

“Saya juga telah menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.

“Saya yakin kita boleh mencari titik tengah yang boleh mengimbangi isu keselamatan dan pendidikan sekiranya kita berlapang dada dan berani membuka ruang kerjasama tanpa mengira perbezaan politik.

“Saya juga yakin ramai pihak di luar sana yang mahu tampil membantu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga hari ini, tiada satu inisiatif pun dalam Belanjawan 2021 tersebut yang memberi impak kepada guru, murid mahupun ibu bapa.

“Bahkan banyak peniaga yang terlibat dalam ekosistem pendidikan seperti peniaga kantin dan pengusaha bas tidak mendapat sebarang manfaat dalam Belanjawan 2021 tersebut.

“Maaf jika saya katakan, Belanjawan yang dibentangkan ini bukanlah Belanjawan Covid-19.

“Nasib dan masa depan pendidikan masih kabur dan tidak menentu. Semua isi ini perlu dipandang serius dan diambil peduli.

“Ini penting bagi memudahkan Ahli Parlimen yang lain membuat keputusan untuk menyokong atau tidak ketika pengundian dijalankan kelak,” tegasnya. – Malaysiapost

Komen