Cubaan tolak Belanjawan bukti Ahli Parlimen Amanah sekadar retorik

Cubaan tolak Belanjawan bukti Ahli Parlimen Amanah sekadar retorik

CUBAAN Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini, menunjukkan mereka hanya bermain retorik.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata malangnya ia ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri hanya 13 orang, berbanding 15 orang yang disyaratkan untuk proses undi belah bahagi dilaksanakan.

“Jelas perpaduan antara pembangkang amat rapuh apabila sekadar mendapat 13 sokongan (untuk undi belah bahagi),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara Ahli Parlimen yang mahu undian berbelah bahagi ialah Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dan Khalid Samad (PH-Shah Alam), kedua-duanya dari Amanah.

Shahir berkata, secara tersiratnya, pemimpin PKR yang disebut-sebut mahu menjadi Perdana Menteri, ternyata gagal mendapat sokongan Ahli Parlimen mereka sendiri.

“Secara tersiratnya juga, DAP hanyalah berdebat kosong dan berkecuali apabila berlakunya pengundian.

“Secara tersiratnya juga, Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Perikatan Nasional jelas membela rakyat apabila melakukan perubahan kepada Belanjawan 2021 agar lebih memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya berkata apa yang lebih penting adalah kerajaan Perikatan Nasional masih mendapat mandat ahli-ahli Parlimen untuk mentadbir negara. – Malaysiapost

Komen