DAP tidak tolak keseluruhan Belanjawan 2021

DAP tidak tolak keseluruhan Belanjawan 2021

AHLI Parlimen DAP tidak bangun untuk menyokong supaya dilaksanakan undi belah bahagi kerana parti itu tidak menolak keseluruhan Belanjawan 2021.

Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke berkata, ada perkara yang mereka boleh bersetuju dan sokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain.

Namun, katanya, banyak juga peruntukan yang ditolak seperti RM85 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu-isu lain dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 belum diluluskan di Parlimen hari ini, kerana ia hanya lulus peringkat bacaan kedua atau dasar sahaja.

Selepas ini, katanya, perbahasan akan masuk peringkat Jawatankuasa mulai Isnin ini, iaitu perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahas secara terperinci dan diluluskan.

“Maka, kita akan membantah dan menolak peruntukan yang kita tidak setuju di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing. Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut.

“Bayangkan, kalau semua Ahli Parlimen pembangkang bangun memohon undi belah bahagi dan menolak pada petang tadi. Apakah serangan pula daripada pihak Perikatan Nasional (PN) pada malam ini?

“Mereka akan tuduh Pakatan Harapan (PH) ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong, tidak mahu gaji kakitangan awam dibayar, tidak menyokong bantuan kepada golongan B40, menyekat elaun hidup untuk petani dan nelayan.

Mereka akan memainkan sentimen rakyat dengan pelbagai tuduhan tersebut,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Loke berkata, sebagai Ketua Parlimen untuk blok Ahli Parlimen DAP, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan untuk memberi arahan kepada Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk tidak bangun meminta undi belah bahagi selepas mendapat mesej dari Ketua Pembangkang.

“Saya faham ramai ahli dan penyokong DAP merasa amat kecewa terhadap keputusan ini dan mengecam tindakan kita.

“Saya memohon maaf secara terbuka sekiranya saudara dan saudari merasakan keputusan ini adalah keputusan salah.

“Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin ini, “The fight will go on”,” katanya. – Malaysiapost

Komen