Kerajaan Kelantan digesa naikkan gaji imam, bilal, guru agama

Kerajaan Kelantan digesa naikkan gaji imam, bilal, guru agama

Nurul Huda Abhar

PARTI Putra Kelantan menggesa kerajaan negeri itu menaikkan gaji dan elaun imam, bilal, guru-guru agama dan tenaga pengajar di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Ketua Penerangannya, Ab Kadir Yaacob berkata, cadangan menaikkan gaji imam kepada RM1,500, bilal RM1,000, guru agama RM1,200 dan kenaikan RM500 sebulan untuk guru di bawah YIK.

“Semua imam juga diberi sebuah kereta bernilai RM50,000 sebuah bagi memudahkan pergerakan  untuk urusan nikah kahwin dan pelbagai tugas.

“Kalau Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri beli serta pakai kereta Mercedes bernilai ratusan ribu ringgit, tidak ada sebab imam tidak berhak diberi kereta hanya harga sekitar RM50,000. Begitu juga kenaikan gaji dan elaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Putra juga mencadangkan kerajaan negeri supaya menaikkan elaun sebanyak RM500 sebulan kepada tenaga pengajar yang mengajar al-Quran di surau atau madrasah.

“Jika ini dapat dilaksanakan baharulah Kelantan layak bergelar negeri Serambi Mekah pimpinan ulama,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan negeri mengkaji semula skim perjawatan dan tangga gaji kepada guru YIK sesuai dengan kelulusan daripada universiti dalam mahupun luar negara dan bergaji tetap.

Katanya, sepatutnya perihal berkenaan menjadi keutamaan PAS daripada menaikkan elaun pemimpin kerajaan negeri mulai Januari lalu.

Awal tahun ini, timbul kontroversi apabila kerajaan Kelantan membeli kereta Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan dan pimpinan negeri.

Kenderaan model terbaharu itu didakwa bernilai hampir RM700,000 seunit ditempah sejak tahun lalu dan mula digunakan tahun ini. 

Selain itu, pemberian khas RM50,000 kepada wakil rakyat di negeri itu bertujuan digunakan untuk wakil rakyat menjalankan program rakyat di kawasan masing-masing. – Malaysiapost

Komen