Ketepi ego politik, duduk semeja demi negara – Syed Saddiq

Ketepi ego politik, duduk semeja demi negara – Syed Saddiq

MALAYSIA perlu membudayakan dwipartisan demi kepentingan negara, kata bekas Menteri Belia dan Sukan (KBS) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kenyataan itu, susulan selepas pertemuan Ahli Parlimen Muar dengan Datuk Seri Najib Razak di kediaman bekas perdana menteri itu semalam

“Saya sentiasa percaya dwipartisan.

“Dahulu ketika berkhidmat di KBS sebagai kerajaan, dapat bekerjasama dengan Datuk Seri Najib berkenaan #Undi18. Sejarah baru tercatat apabila tiga pindaan perlembagaan berjaya diluluskan dan 7.8 juta pengundi muda diangkat.

“Kini, bila di kerusi pembangkang pula, bincangkan soal #Belanjawan2021. Malaysia perlu membudayakan dwi-partisan. Tidak salah untuk semua duduk semeja demi kepentingan negara,” katanya di Facebook semalam.

Syed Saddiq berkata, banyak isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium.

“Isu KWSP, pelanjutan moratorium, isu Cukai Durian Runtuh, peruntukan RM85 juta Jasa, kebajikan mahasiswa dan lain-lain.

“Saya dan Muda (Ikatan Demokratik Malaysia) percaya perbincangan dengan ahli Dewan Rakyat dari mana-mana parti adalah sebahagian dari tugas politik.

“Ketepikan ego politik dan cari jalan terbaik untuk negara,” katanya.

Sementara itu, Najib dalam Facebooknya turut berkongsi beberapa keping gambar yang diambil ketika pertemuan itu.

“Ada tetamu datang rumah hari ini. Bertukar pandangan. Bincang dan nasihat,” katanya.

Syed Saddiq bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum bertindak menyokong kem Tun Dr Mahathir Mohamad ketika parti itu berpecah antara bekas perdana menteri itu dan penggantinya Muhyiddin Yassin.

Namun, Syed Saddiq tidak menyertai parti Dr Mahathir iaitu Pejuang, sebaliknya menubuhkan parti baru dikenali sebagai Muda. -Malaysiapost

Komen