Luqie sudah pulih, sedia beraksi semula

Luqie sudah pulih, sedia beraksi semula

‘UBI’ Kelantan yang berkelana di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin kini pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring pada kaki kanannya. 

Berdasarkan perkongsian di Facebook KV Kortrijk, pemain berusia 19 tahun itu mula menyertai sesi latihan skuad utama kelab berkenaan. 

Selain Luqman, kelab milik taikun Tan Sri Vincent Tan itu turut memaklumkan dua lagi pemain lain pulih daripada kecederaan dan mula menyertai latihan. 

“Look who is back!,” kata kelab berkenaan dengan memuatnaik gambar Luqman. 

Bekas pemain Selangor 2 itu mengalami kecederaan hamstring pada kaki kanannya ketika menjalani sesi latihan, sehari selepas aksi menentang RSC Anderlecht pada 24 Oktober lalu. 

Setelah dianalisis oleh pihak perubatan kelab, otot Luqman koyak sepanjang 1.9 sentimeter sekali gus dinasihatkan agar berehat selama tiga minggu. 

Kini, setelah pulih sepenuhnya, Luqman boleh menampilkan prestasi terbaik dalam sesi latihan sekaligus memikat hati pengendali pasukan, Yves Vanderhaeghe bagi menurunkan beliau dalam kesebelasan utama. – Malaysiapost

Komen