Pembangkang desak beri lebih masa kepada Adham

Pembangkang desak beri lebih masa kepada Adham

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] DEWAN Rakyat sedikit ‘panas’ selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang menggesa masa penggulungan Kementerian Kesihatan dilanjutkan lebih lama.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) berkata masa 20 minit tidak mencukupi dan perlu diberikan masa lebih lama susulan isu yang dibangkitkan membabitkan Covid-19.

Katanya, penggulungan usul melanjutkan persidangan itu sudah diluluskan selepas dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi dan seharusnya masa boleh dilanjutkan.

Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata tempoh 20 minit itu sudah ditetapkan dan Ahli Parlimen tidak seharusnya bertanya ketika Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sedang menjawab persoalan yang sebelum ini dibangkitkan ketika berbahas.

Bagaimanapun, Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) mendakwa beliau tidak boleh mengemukan pertanyaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana kekangan waktu yang singkat ketika berbahas sebelum ini.

Katanya, apa gunanya hadir ke Dewan Rakyat jika hanya mendengar menteri membaca teks tetapi tidak dibenarkan bertanya.

Dalam pada itu, celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai pandangan KKM dalam isu penghinaan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah oleh Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) bagaimanapun tidak dijawab oleh Menteri Kesihatan berkenaan. – Malaysiapost

Komen