Pemimpin DAP menyindir, penyokong kecewa

Pemimpin DAP menyindir, penyokong kecewa

SINIS dan penuh tersirat, itulah yang mampu diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim susulan penerimaan majoriti Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Belanjawan 2021 hari ini.

Tulis Chang Kim di laman Facebooknya, “Kalau tidak berdiri di Parlimen untuk membantah jangan kata di Facebook kamu membantah. Memalukan.”

Sindiran Chang Kim dipercayai ditujukan kepada Ahli Parlimen DAP yang tidak turut serta bersama 13 Ahli Parlimen pembangkang yang lain untuk bangun berdiri menyokong undi secara belah bahagi diadakan bagi menentu sokongan Belanjawan 2021.

Untuk mengadakan undi secara belah bahagi, aturan Dewan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen menyokong cadangan tersebut yang telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong parti DAP dan Pakatan Harapan (PH) meluahkan rasa kecewa dan terkejut di ruang komen Facebook milik Chang Kim.

Malah, mereka lebih kecewa kerana tidak ada wakil rakyat dalam kalangan DAP bangun berdiri untuk menyokong undi belah bahagi.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menggulung perbahasan selama kira-kira sejam. – MalaysiaPost

Komen