Penyeludup rokok rempuh SJR di Seri Kembangan

Penyeludup rokok rempuh SJR di Seri Kembangan

SEORANG lelaki nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar Seri Kembangan, semalam bagi mengelak ditahan kerana kenderaan dipandunya membawa 10,594 kotak rokok seludup.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek berusia 28 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Fortuner merempuh kon di SJR berkenaan dalam usaha melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, anggota bertugas di SJR mengejar sejauh dua kilometer sebelum berjaya memintas kenderaan suspek.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas kenderaannya menemui 13 guni mengandungi 10,594 kotak rokok seludup dianggar bernilai RM100,000,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Razali berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan rokok seludup itu dari Morib, Banting dan dalam perjalanan menghantarnya ke Kuala Lumpur.

“Ketika disoal siasat, lelaki itu memaklumkan dia tidak mengetahui lokasi tepat untuk menghantar bekalan berkenaan dan sedang menunggu arahan lanjut daripada seseorang.

“Namun sepanjang penahanannya, tiada individu yang menghubungi suspek seperti yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Malaysiapost

Komen