Perancangan holistik perkasa keselamatan sempadan negara

Perancangan holistik perkasa keselamatan sempadan negara

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) beranggapan aspek kesiapsagaan dan keupayaan anggota pasukan keselamatan di sempadan perlu diperkasakan susulan insiden di sempadan Malaysia-Thailand, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata selain perolehan aset dan fasiliti bertaraf moden dan terkini seperti dron, night vision goggles, gps traceker dan peralatan lain untuk keselamatan sempadan, kedua aspek itu juga perlu dipertingkatkan.

“KDN juga sedang merangka perancangan secara holistik bagi memperkasakan kawalan sempadan negara.

“Perkara ini dapat direalisasikan melalui latihan dan kerjasama strategik bersama agensi dalam dan luar negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai serangan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan dan langkah terkini kerajaan dalam memperketatkan lagi kawalan sempadan.

Sementara itu, Hamzah turut memaklumkan mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari yang terbabit dalam insiden itu dinaikkan serta merta ke pangkat Sarjan.

Sebelum ini iaitu kelmarin, media melaporkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar, maut akibat ditembak.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dan mangsa yang cedera sedang dirawat di HTF dengan keadaannya dilaporkan kritikal. -Malaysiapost

Komen