PKPD Top Glove, tiada pekerja panjat pagar – polis

PKPD Top Glove, tiada pekerja panjat pagar – polis

POLIS menjelaskan tiada pekerja di asrama Top Glove Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan itu.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, siasatan terhadap gambar yang tular di media sosial memaparkan pekerja lelaki memanjat pagar asrama berkenaan mendapati perbuatan itu berlaku pada hari pertama PKPD, ketika pekerja terbabit hendak masuk ke asrama, bukan keluar dari kawasan itu.

Beliau berkata, insiden memanjat pagar itu berlaku pada hari pertama PKPD di asrama pekerja Top Glove pada 17 November lalu, ketika ujian saringan Covid-19 belum dilakukan.

“Mereka memanjat pagar sebagai jalan mudah untuk masuk semula ke asrama kerana ketika itu kawat duri dipasang oleh anggota penguat kuasa yang bertugas,” katanya pada sidang media di Shah Alam, seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Menurutnya, beberapa pekerja lelaki yang kelihatan dalam gambar yang tular itu telah dikenal pasti, dan mereka sedang dikuarantin di asrama berkenaan sehingga kini.

Justeru, Muhammad Yazid berkata, dakwaan di media sosial yang mengatakan pekerja di asrama Top Glove lari daripada ujian saringan adalah tidak benar, malah tiada sebarang laporan mengenai isu seumpamanya diterima selepas gambar berkenaan tular sejak beberapa hari lepas.

Tambahnya, kawalan keselamatan di PKPD itu juga berjalan lancar dan pekerja di asrama berkenaan memberi kerjasama ketika ujian saringan Covid-19 dilaksanakan.

Dia seterusnya memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

PKPD asrama pekerja Top Glove berkuat kuasa mulai 17 November hingga Isnin ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Teratai. – Malaysiapost

Komen