SPRM siasat lebih 2,000 kes rasuah penjawat awam sejak 2016

SPRM siasat lebih 2,000 kes rasuah penjawat awam sejak 2016

[PARLIMEN] SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka sebanyak 2,287 kertas siasatan ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sejak 2016 hingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata SPRM bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

“Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dilaksanakan sebagai pencetus usaha pencegahan rasuah.

“Sebagai contoh, setiap agensi memerlukan tools (pemudah cara) seperti Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Sistem Pengurusan Antirasuah dalam usaha mengekang perlakuan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin (PAS-Kota Bahru) berkata, sebanyak 139 agensi sudah melaksanakan libat urus dengan SPRM menerusi CRM sementara 40 agensi lagi menerusi OACP. -Malaysiapost

Komen