Tiada laluan mudah setuju RUU peringkat jawatankuasa – Anwar

Tiada laluan mudah setuju RUU peringkat jawatankuasa – Anwar

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak memilih untuk undi belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 kerana ingin memberi tumpuan kepada perbahasan RUU peringkat jawatankuasa.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak akan memberi laluan mudah untuk meluluskan RUU berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pihaknya akan menentukan RUU itu diluluskan atau sebaliknya menerusi bacaan kali ketiga selepas sesi penggulungan oleh setiap kementerian bermula Isnin ini.

“Saya minta mereka (pembangkang) setuju atas dasar pertama (Datuk Seri Tengku) Zafrul (Abdul Aziz), tapi beliau tidak menjawab isu pokok. Tapi dia memberi respon positif berhubung isu kebajikan rakyat.

“Jangan ingat mereka (kerajaan) boleh merayakan kelulusan ini. Kita menolak belanjawan ini dari segi prinsipnya, unjuran salah dan hasil pendapatan yang tidak realistik,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan usul Belanjawan 2021 diluluskan selepas sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan itu selama sejam yang kemudiannya disokong semua Ahli Parlimen kerajaan. – Malaysiapost

Komen