Tiga pelajar cedera terjatuh semasa cari capaian internet

Tiga pelajar cedera terjatuh semasa cari capaian internet

TIGA pelajar terjatuh dari jambatan gantung yang runtuh di Kampung Gusi, Ranau, Sabah ketika mereka cuba mendapatkan capaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam membabitkan mangsa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang berkata, seorang pelajar patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Ketiga-tiga mangsa belajar di SMK Ulu Sugut, Ranau dan cuba mengakses Internet di bahagian tertentu di jambatan gantung berkenaan.

“Saya akan segera pergi ke kampung itu untuk menilai keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat untuk membaiki jambatan berkenaan.

“Kita harap penduduk kampung bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini,” katanya seperti dilaporkan Hmetro, hari ini.

Jambatan gantung itu difahamkan ketinggian 18 meter dari aras sungai dan menjadi satu-satunya kawasan yang mempunyai isyarat sambungan Internet.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya pelajar berkumpul di kawasan berkenaan sekiranya memerlukan jaringan Internet.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Sugut, Ratimin Kukunut berkata, penduduk kampung menyatakan semua mangsa berada di tengah jambatan untuk mengikuti kelas dalam talian sebelum jambatan gantung itu tiba-tiba runtuh.

“Sambungan Internet di Kampung Gusi ini sangat teruk.

“Bagaimanapun, ia lebih baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

Komen