Belanjawan 2021: Tak bangun undi belah bahagi, saya minta maaf – Salahuddin

Belanjawan 2021: Tak bangun undi belah bahagi, saya minta maaf – Salahuddin

TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sedia menerima hukuman akibat tidak bangun bagi meminta undi belah bahagi di Parlimen semalam.

Beliau menerusi satu kenyataan hari ini mengakui kesilapannya kerana tidak bangun untuk menyokong usul undi belah bahagi yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

“Saya minta maaf pada parti dan ahli-ahli Amanah. Saya salah kerana bangun dan duduk semula setelah Presiden Abang Mat (Mohamad Sabu) minta saya dan MP Amanah yang lain duduk.

“Abang Mat terima arahan last minit dari Ketua Pembangkang. Saya tak sanggup dan tergamak berlawan dengan presiden sendiri dalam Parlimen.

“Saya akui saya salah. Saya menunggu dan bersedia untuk menerima hukuman dari parti. Ahad ini parti akan ada mesyuarat khas.,” katanya.

Terdahulu, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat dasar telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih suara untuk menyokong.

Terdapat percubaan pembangkang untuk adakan undi belah bahagi namun usaha tersebut gagal kerana tidak mencukupi 15 orang menyokong cadangan tersebut.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung bermula 9 November hingga 19 November. – Malaysiapost

Komen