Covid-19: KKM guna ‘5P’ dalam pemilihan vaksin

Covid-19: KKM guna ‘5P’ dalam pemilihan vaksin

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai lima aspek penting berhubung bekalan vaksin Covid-19 untuk keperluan rakyat di negara ini, ujar Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, ia merangkumi aspek pendaftaran, pembekalan, pemberian (agihan), pemantauan dan penilaian atau 5P.

Beliau berkata, aspek 5P terbabit akan menjadi kayu ukur bagi menentukan kewajaran penggunaan sesuatu vaksin itu.

“Aspek 5P yang penting itu ialah pertama, vaksin terbabit mesti sudah didaftarkan; kedua, pembekalan meliputi rantaian dari pelbagai aspek termasuk logistik, kaedah penyimpanan sehinggalah ia sampai kepada pengguna.

“Ketiga, KKM akan melihat aspek pemberian dengan keutamaan kepada golongan berisiko tinggi.

“Sebagai contoh, petugas barisan hadapan, warga emas dan sebagainya akan menerima dulu peruntukan vaksin berkenaan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Sementara itu, katanya, aspek pemantauan akan turut diteliti bagi mengenal pasti sama ada terdapat kesan sampingan bagi pengguna kelak.

“Yang terakhir ialah penilaian keseluruhan vaksinasi perlu dilakukan, antara lain bagi melihat sama ada ia memenuhi objektif kita untuk mencapai imuniti kelompok.

“Inilah konsep yang kita guna supaya negara tidak ketinggalan. Misalnya, jika ada vaksin telah didaftarkan bawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), berkemungkinan permintaan terhadapnya juga akan meningkat,” ujarnya.

Tambahnya, negara mungkin akan ketinggalan jika tidak memulakan langkah proaktif bagi mendapatkan vaksin, namun yang lebih utama adalah vaksin itu selamat digunakan. – Malaysiapost

Komen