Malaysia tandatangani perjanjian awal beli vaksin Pfizer

Malaysia tandatangani perjanjian awal beli vaksin Pfizer

KERAJAAN melalui Menteri Kesihatan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 12.8 juta dos, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata perjanjian ditandatangani pada 24 November itu bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Katanya, perjanjian itu juga bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedar oleh pihak syarikat.

“Pfizer pada 9 November 2020 menyatakan analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin (vaccine efficacy) tersebut adalah 95 peratus.

“Melalui perjanjian ini, Pfizer menjanjikan penghantaran sejuta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli 1.7 juta dos pada suku kedua, 5.8 juta dos pada suku ketiga dan 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

“Pihak syarikat bagaimanapun masih perlu mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar, di samping kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada 22 November lalu Malaysia melalui Menteri Kesihatan juga menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua perjanjian itu dijangka dapat menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat.

“Proses pemberian vaksin, setelah diperolehi nanti, akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko
tinggi yang mudah mendapat jangkitan.

“Kumpulan berisiko tinggi ini termasuk petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti jantung, diabetes, pernafasan kronik dan sebagainya. Seterusnya, vaksin ini akan diperluas kepada kumpulan sasar lain,” katanya.

Dalam pada itu, kata Perdana Menteri, KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat.

“Kerajaan juga ingin mengumumkan KKM bakal memulakan satu kajian klinikal fasa-3 vaksin Covid-19 menerusi inisiatif Kerajaan – dengan – Kerajaan (G2G) bersama Republik Rakyat China (RRC).

“Vaksin ini dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

“Kajian klinikal fasa-3 ini akan melibatkan 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu,” katanya.

Beliau berkata, kajian yang dijangka bermula bulan depan akan dikendalikan Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR).

Perdana Menteri menjelaskan, profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan ditetapkan KKM.

“Kajian klinikal fasa-3 ini juga akan melibatkan lapan pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan KKM.

“Kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan berkolaborasi untuk menjalankan kajian
klinikal fasa-3 ini di Malaysia.

“Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat-syarat ketat ditetapkan NPRA dan tidak sesekali berkompromi dalam soal ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen