Pelan pemulihan TH gagal, Pemuda Umno mahu RCI ditubuh segera

Pelan pemulihan TH gagal, Pemuda Umno mahu RCI ditubuh segera

PEMUDA Umno sekali lagi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dan menghentikan segala transaksi penjualan aset agensi itu termasuk baki 74 peratus ladang-ladang kelapa sawit milik TH Plantations.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendedahan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah mengenai kerugian bersih RM9.95 bilion syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) bagi tahun kewangan berakhir 2019 di Dewan Rakyat Rabu lalu, membimbangkan.

Ini jelas katanya, menunjukkan Pelan Pemulihan TH oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal dan hanya bersifat kosmetik semata-mata.

Beliau berkata, ia hanya bagi menutup kelemahan dasar ekonomi kerajaan PH yang menyebabkan aset-aset TH bernilai RM9.63 bilion terjejas teruk, sekali gus dijual kepada UJSB dengan penerbitan sukuk berjumlah RM19.9 bilion pada April 2019.

“Menurut Pelan Pemulihan TH Kerajaan PH ini juga, UJSB akan menebus kembali sukuk-sukuk tersebut berserta keuntungan berjumlah RM27.56 bilion pada hujung tahun ke-9.

“Persoalannya, apakah UJSB yang hanya berpendapatan (revenue) sebanyak RM234 juta sahaja bagi tahun 31 Disember 2019 ini berkemampuan untuk membina dana sebesar RM27.56 bilion bagi menebus sukuk-sukuk tersebut?

“Ketua Audit Negara turut meragui keupayaan UJSB untuk mencapai sasaran tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan, kata Dr Asyraf Wajdi apabila jaminan berbentuk komitmen yang sering diuar-uarkan bekas menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hakikatnya bukanlah jaminan kerajaan mengikut Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

“Atas dasar inilah Pemuda Umno sejak dari awal tidak yakin dan sinis dengan Pelan Pemulihan TH anjuran PH ini kerana menganggap hanya satu ‘grand scheme’ atau ‘konspirasi besar’ penjualan lambak aset-aset TH.

“Ia dengan cara mengaburi persepsi rakyat khususnya pendeposit dan menutup kelemahan dasar ekonomi PH,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana tiada tindakan signifikan daripada kerajaan PN untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat sebarang salah laku dan penyimpangan dalam TH, walau berkali-kali dibangkitkan, termasuk penyerahan Memorandum Mendesak penubuhan RCI TH. – Malaysiapost

Komen