Pihak belah sana jangan ikut perasaan – Ammar Alfian

Pihak belah sana jangan ikut perasaan – Ammar Alfian

PELAKON, Ammar Alfian meminta bekas isterinya, Nelissa Nezam agar mengawal kelakuan dan hormati keputusan mahkamah.

Ammar berkata, bekas isteri sepatutnya menghormati keputusan hakim dan mahkamah serta jangan mengikutkan rasa tidak puas hati kerana akan memakan diri.

“Saya baru balik dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan tergerak hati nak buat video ini berdasarkan apa yang hakim nasihat kepada kami.

“Rasanya beliau (hakim) sudah terasa sakit hati dengan apa yang didengar di media sosial, mengenai Mahkamah Syariah ni berat sebelah pada lelaki.

“Saya tahu kenapa dia sampaikan nasihat itu kepada saya dan pihak belah sana (bekas isteri saya) sebab dia tulis dekat media sosial mengenai perasaan tak puas hati terhadap mahkamah yang berpihak pada saya.

“Ia menyedihkan sebab kami ke mahkamah untuk mendapatkan keputusan.

“Hakim dan mahkamah ini orang tengah, apabila kita ke mahkamah (yakni tempat orang) tolong hormatlah, tapi belah sana tak tunjuk.

“Bila kita datang rumah orang kita tunjuk hormat, jadi hakim pun terasa. Mahkamah pun tak besar mana, orang bercakap, apa yang kita buat di luar dewan orang semua perhatikan dan ada saksi apabila pihak belah sana tunjuk perangai tak cantik jadi hakim pun terasa, nampak!,” katanya menerusi di Instagram semalam.

Pelakon Paskal itu berkata, tidak berbaloi untuk mengeluarkan kata-kata yang boleh memalukan diri sendiri termasuk berisiko dipenjara sekiranya disabitkan menghina mahkamah.

“Oleh itu, nasihat saya nak sampaikan, jangan maki atau hina mahmamah sebab boleh kena penjara lebih enam bulan.

“Kita tak nak masuk penjara hanya sebab percakapan, itulah peribahasa Melayu selalu cakap kerana mulut badan binasa.

“Inilah dia salah satunya… Saya rasa elok pihak belah sana faham, kita ni manusia hidup sementara jangan berlagak, jangan ego. Kita tak hebat, tak kaya mana, ada lagi yang lebih kaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ammar mengakui kesilapannya menjadi punca kepada perceraian namun enggan memanjangkan lagi ‘perang’ untuk mendapatkan hak.

“Saya tahu dalam kes perceraian ini saya yang salah tapi jangan tunjuk jahat kita, kita nak berubah jadi kita tunjuk kebaikan kita, tunjuk rasa hormat kita.

“Kalau keputusan tidak mengikut kehendak kita, ‘move on’. Saya pasti ia bersebab. Alhamdulillah, saya mendapat keputusan yang diinginkan, perjuangan ini menang walau tidak secara keseluruhannya.

“Saya tak nak berperang dengan bekas isteri tapi saya masih ada perjuangan berkenaan anak lelaki saya.

“Saya tak jumpa anak saya dan saya nak jumpa dia. Entah dia masih kenal saya lagi atau tidak.

“Jadi, saya cuba berkomunikasi dengan bekas isteri saya baik-baik tapi siapa yang dekat tahulah,” katanya.

Perkahwinan Ammar dan Nelissa berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur membenarkan mereka bercerai secara tebus talak.

Hakim memerintahkan Nelissa membayar RM7,000 kepada Ammar sebagai proses tebus talak.

Konflik rumah tangga Ammar dan Nelissa menjadi perbualan selepas model itu mendedahkan suaminya menipu dan berlaku curang, pada Mei 2019.

Nelissa dan Ammar mendirikan rumah tangga pada Mac 2016 dan pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata lelaki, Kyro Shakur yang kini berusia setahun. – Malaysiapost

Komen