PRK Gerik, DUN Bugaya dijalankan serentak 16 Januari 2021

PRK Gerik, DUN Bugaya dijalankan serentak 16 Januari 2021

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan kedua-dua PRK berkenaan hari ini, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 12 Januari.

Mulai 16 Disember ini, pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih melalui laman portal SPR, pengundi.spr.gov.my, menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau aplikasi MySPR Semak untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.

PRK bagi kedua-dua kerusi perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya, susulan kematian kedua-dua penyandang.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November lalu, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya, Allahyarham Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November.

Tidak dapat sama ada kedua-dua kawasan akan diisytiharkan darurat seperti Parlimen Batu Sapi di Sabah, bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada 18 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytihar Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu. – Malaysiapost

Komen