Sedih melihat kegigihan bapa disia-siakan pelajar

Sedih melihat kegigihan bapa disia-siakan pelajar

MESKIPUN sekolah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), guru tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik dengan mengadakan kelas pembelajaran secara dalam talian.

Namun, usaha mereka seperti sia-sia apabila terdapat segelintir pelajar bersikap acuh tak acuh dalam memberi komitmen.

Menerusi laman Twitter, @Nuha telah berkongsi kisah pilu mengenai kegigihan bapanya mengadakan kelas pembelajaran ‘online’, namun tiada seorang pun pelajar yang menyertai sesi tersebut.

Menurut Nuha, atas rasa tanggungjawab seorang guru, bapanya menelefon pelajarnya secara ‘personal’ bagi memastikan sesi pembelajaran dapat diadakan sekali gus mengelak mereka dari terus keciciran ‘silibus’.

Usaha bapanya itu tidak berjaya kerana panggilan telefon tidak dijawab, malah menurut Nuha hatinya diruntun pilu apabila segelintir pelajar sanggup mematikan panggilan telefon daripada guru yang berusaha keras mencurahkan ilmu.

“Kesiannya abi (ayah), dia buat class budak-budak dia seorang pun tak masuk. Sampai abi nak kena call sorang sorang (setiap seorang), itu pun tak angkat.

“Diorang (mereka) tahu abi akan call diorang kalau waktu hari ada class, then diorang matikan fon,” ciap Nuha di Twitter miliknya.

Menurut Nuha, kelas pembelajaran dalam talian itu masih lagi kosong tanpa disertai walaupun seorang pelajar, meskipun sejam bapanya menunggu di talian.

Tidak sampai hati melihat bapanya berduka, Nuha sendiri menyertai kelas itu bagi menggembirakan hati lelaki tersebut yang sempat bernyanyi-nyanyi seorang diri bagi menghilangkan kebosanan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kecewa dengan pelajar yang tidak menghargai usaha seorang guru.

Malah, ada netizen yang menyelar sikap pelajar tersebut yang disifatkan kurang ajar dan tidak bersungguh-sungguh menuntut ilmu. – Malaysiapost

Komen