16 tahun bergelar penyanyi, Farahdhiya baru sekali terima royalti

16 tahun bergelar penyanyi, Farahdhiya baru sekali terima royalti

SEPANJANG lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara, penyanyi, Farahdhiya membongkar kisah dirinya yang tidak menerima wang kutipan royalti yang sepatutnya diperolehi sepanjang bergelar anak seni.

Malah, Farahdhiya, 36, mendedahkan sepanjang 16 tahun dia hanya mendapat hanya sekali bayaran royalti.

“Alhamdulillah. Sejujurnya saya yang baru 16 tahun dalam industri hiburan ni baru sekali sahaja dapat merasa duit royalti sebagai penyanyi.

“Ya, sekali sahaja dalam 16 tahun. Sila kembalikan hak-hak kami semua kepada yang berkenaan,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Farahdhiya atau nama sebenarnya, Farahdhiya Mohd Amin menerusi hantaran di laman Instagramnya memuatnaik satu keratan berita mengenai isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan ke atas badan pengurusan royalti artis.

Beliau yang pernah menyertai satu program realiti televisyen turut kecewa kerana usahanya untuk mendapatkan penjelasan mengenai bayaran royaltinya tidak berjaya.

Ini kerana, katanya, pihak yang berkenaan tidak mahu memberikan respon yang baik ketika dihubungi,

“Ada juga saya mesej bertanya kepada individu yang bekerja bersama dalam satu syarikat yang menguruskan hal royalti artis, tetapi tidak berjawab.

“Bila nak panggil mesyuarat untuk dapat sokongan atau isi borang pandai pula cari kita. Semoga ada penyelesaian untuk kami semua, mungkin inilah masanya!,” tulis penyanyi lagu ‘Bertahta Di Hati’ itu.

Terdahulu, SPRM menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis semalam bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Media melaporkan, SPRM memulakan siasatan susulan maklumat dirujuk oleh Presiden Karyawan berhubung isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Ianya adalah kutipan yang diterima daripada pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan persembahan awam atau ‘public performance’ di mana royalti yang dikutip ini tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu. -Malaysiapost

Komen