Adik ipar durjana curi wang pelanggan

Adik ipar durjana curi wang pelanggan

HARAPKAN pegar, pegar makan padi. Itulah nasib seorang wanita pengusaha katering apabila adik ipar yang diberikan kepercayaan menguruskan perniagaan itu bertindak ‘melarikan’ wang pelanggan.

Mangsa berusia 51 tahun itu, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong selepas menyedari wang berjumlah RM31,250 tidak diserahkan, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun syarikat suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa melantik suspek untuk bekerja dengan syarikatnya sejak 2014 dan semua urusan berkaitan tender makan diuruskan suspek termasuk kewangan.

“Skop tugas suspek adalah mengambil tempahan makanan, mengeluarkan invois sebut harga makanan, menerima bayaran tempahan makanan daripada pelanggan serta menguruskan tempahan pelanggan sehingga selesai majlis.

“Dalam kes ini mangsa memberikan kepercayaan penuh memandangkan suspek juga ahli keluarga terdekat sehingga tidak sedar adik iparnya itu mengeluarkan invois atas nama syarikatnya sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek juga meminta pelanggan yang menempah makanan membuat pembayaran secara langsung kepadanya, melalui akaun syarikatnya.

“Bayaran yang diterima oleh suspek tidak diberikan kepada mangsa, malah pengadu juga ada meminta bayaran, namun pelbagai alasan diberikan.

“Sepanjang tempoh 2019 sehingga 2020 beberapa tender tempahan makanan diuruskan oleh suspek dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM31,250,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. -Malaysiapost

Komen