AMK minta berhenti menyerang satu sama lain

AMK minta berhenti menyerang satu sama lain

Muhammad Mustakim Ramli

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) meminta semua pihak yang mendukung perjuangan Pakatan Harapan (PH) untuk bertenang dan berhenti menyerang satu sama lain.

Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata perbalahan di media tidak membantu PH untuk menjadi kuat sebaliknya bertambah lemah.

“Muafakat dan kerjasama sesama rakan komponen PH wajib dipertahankan tanpa kompromi.

“Mandat rakyat yang diperolehi melalui pilihanraya umum yang lalu telah dirampas dan usaha untuk mengembalikan mandat ini sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata dalam usaha dan kegigihan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan mandat, Ketua Pembangkang itu terpaksa melalui fasa sukar yang menuntut ketabahan dan pengorbanan.

“Disinilah akan teruji semangat setiakawan, disiplin dan kepercayaan dari rakan-rakan seperjuangan dan parti-parti komponen Pakatan Harapan.

“Justeru itu saya menyeru semua pihak untuk bertenang dan bersabar melalui proses sukar ini kerana matlamat sebenar untuk mengembalikan mandat masih berjalan,” katanya.

Terdahulu Pesiden PKR itu dikritik beberapa pihak termasuk sekutunya dari DAP yang berang arahan yang dikeluarkan Ketua Pembangkang itu yang mengarahkan Ahli Parlimen daripada PKR dan DAP untuk tidak melakukan pengundian belah bahagi ketika bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Terdapat desakan termasuk kata dua kepada pemimpin DAP supaya memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH sekiranya Ketua Pembangkang itu masih menganggap keputusannya adalah tepat. -Malaysiapost

Komen