Armada cadang 20 peratus calon pilihan raya daripada anak muda

Armada cadang 20 peratus calon pilihan raya daripada anak muda

Muhammad Mustakim Ramli

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mencadangkan agar 20 peratus daripada calon pilihan raya dan lantikan mestilah terdiri daripada golongan anak muda.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ia seiring dengan berkuatkuasanya Undi 18, di mana golongan itu akan menjadi kumpulan pengundi terbesar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Tahun ini, separuh daripada rakyat Malaysia adalah berumur 30 tahun atau lebih muda. Menjelang berkuatkuasanya Undi18 pada Julai 2021, anak muda akan menjadi kumpulan pengundi terbesar yang wajib disantuni.

“Armada mencadangkan agar 20 peratus daripada calon pilihan raya dan lantikan mestilah terdiri daripada anak muda termasuk bagi Ahli Dewan Rakyat; Ahli Dewan Negara; Ahli Dewan Undangan Negeri; Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta Khidmat sokongan anggota Pentadbiran,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Ketua Armada Nasional di Perhimpunan Agung Tahunan 2020 Bersatu.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata Covid-19 memberi kejutan yang besar hingga mengakibatkan ramai yang hilang sumber pendapatan lebih-lebih lagi anak muda.

Katanya, selari dengan hasrat kerajaan melalui Belanjawan 2021, Armada mencadangkan beberapa pendekatan antaranya rombakan segera sistem pendidikan terutamanya untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Ini supaya setiap belia bahkan sebelum meninggalkan alam persekolahan sudah mempunyai peluang kerja yang sesuai dengan bakat dan minat masing-masing.

“Selain itu, melalui dasar jaminan pekerjaan di bawah Majlis Pekerjaan Negara, skim-skim ini boleh diperkasa agar peluang pekerjaan dapat dicipta dan dimajukan. Sistem ‘talent matching’ yang mengenalpasti dan memadankan bakat-bakat muda dengan peluang yang terbaik juga perlu disegerakan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan juga mencadangkan pendekatan Satu Keluarga, Satu Kerjaya iaitu setiap isirumah perlu ada sekurang-kurangnya seorang pekerja berkemahiran tinggi atau yang bekerja dalam sektor yang ada nilai tambah tinggi.

“Selain daripada pakar IT dan pakar ekonomi, kita juga mahu belia memimpin dalam bidang kepintaran buatan, robotik, dan yang paling penting teknologi hijau untuk menjamin kelestarian alam sekitar kita. Ini Fardu kifayah yang tidak boleh kita tinggalkan dari kalangan kita.

“Dalam pada itu, Armada melihat wabak Covid-19 membuktikan kebergantungan kepada tenaga kerja asing adalah satu liabiliti. Armada percaya masalah ini harus dikurangkan beransur-ansur dan guna tenaga tempatan dipertingkat,” katanya. -Malaysiapost

Komen