Batal jaminan projek LRT Pulau Pinang, PN mahu balas dendam

Batal jaminan projek LRT Pulau Pinang, PN mahu balas dendam

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyatakan keputusan Putrajaya untuk tidak memberikan jaminan pinjaman kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) negeri itu merupakan satu bentuk ‘pembalasan dendam’ politik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP mengecam tindakan kerajaan persekutuan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, menjamin pinjaman bernilai RM2 bilion itu adalah tindakan “paling sedikit” yang dapat dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk Pulau Pinang.

“Pengumuman kerajaan persekutuan membatalkan jaminan pinjaman bernilai RM2 bilion untuk pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang adalah tindakan mengecewakan dan perbuatan keji ‘balas dendam politik’ terhadap negeri dan rakyat Pulau Pinang.

“Pinjaman tersebut akan diperolehi daripada Asian Development Bank (ADB), sebuah institusi kewangan pembangunan serantau yang mempunyai reputasi baik. Pulau Pinang tidak meminta pinjaman atau wang daripada kerajaan persekutuan untuk projek ini.

“Jaminan pinjaman persekutuan adalah tindakan paling sedikit yang boleh dilakukan oleh kerajaan pusat untuk Pulau Pinang,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini, hari ini.

Dilaporkan pentadbiran PN memutuskan untuk menarik diri daripada memberikan jaminan pinjaman kepada Pulau Pinang, yang sebahagiannya bagi membiayai projek LRT bernilai RM9.5 bilion.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keputusan itu sejajar dengan unjuran hasil dan pendapatan kerajaan yang disemak semula untuk negara.

Sim, yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, mengkritik Putrajaya atas tindakan itu, kerana kerajaan persekutuan membiayai projek lain bernilai berbilion ringgit.

“Baru-baru ini diumumkan kerajaan pusat akan mengembangkan sistem monorel di Putrajaya dan membiayai sistem transit RM6 bilion di Kuching di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Walaupun projek pengangkutan bernilai berbilion-bilion ringgit dibiayai oleh pentadbiran PN di negeri-negeri lain, namun jaminan pinjaman Pulau Pinang dengan kecewanya dibatalkan.

“Ini walaupun Pulau Pinang menjadi penyumbang cukai kedua tertinggi untuk negara ini,” katanya.

Beliau turut mendesak kerajaan pusat untuk mengembalikan jaminan pinjaman itu atau membiayai sepenuhnya projek LRT Pulau Pinang. -Malaysiapost

Foto Kredit: Awani

Komen