Desak Anwar mohon maaf: Pemuda DAP keterlaluan – AMK Selangor

Desak Anwar mohon maaf: Pemuda DAP keterlaluan – AMK Selangor

KENYATAAN Pemuda DAP supaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf dan ancaman ‘berpisah’ dengan PKR adalah keterlaluan, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi.

Beliau berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah memberi kepercayaan terhadap Anwar dalam usaha mengembalikan kerajaan PH dan maka para pemimpin parti perlu akur dengannya.

“Kita wajar menginsafi bahawa usaha tersebut bukan mudah. PH kehilangan kerajaan ketika Anwar tidak memegang apa-apa jawatan kabinet dalam tempoh 22 bulan pentadbiran.

“Oleh itu, adalah sangat tidak adil bila mana semua beban perlu ditanggung Anwar tatkala tangan dan kakinya diikat dari bergerak.

“Sikap begitu tidak lebih sebagai langkah membuli Anwar dan PKR sedangkan selama lebih 20 tahun, Anwar mendedikasikan perjuangannya untuk memperkukuh gabungan parti-parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Hong Keat dan Pemuda DAP tidak harus cepat lupa daratan dengan kenyataan bernada sedemikian sebelum merujuk kepimpinan parti mereka.

Najwan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hong Keat yang mengkritik Anwar susulan arahannya agar ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong undi belah bahagi untuk bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Terdahulu, Anwar membangkitkan persoalan dalam kalangan pembangkang apabila mengarahkan ahli Parlimen pembangkang supaya tidak meminta undi belah bahagi, yang memerlukan undian menyokong dan menolak Belanjawan 2021 dikira.

Undian itu boleh dianggap sebagai satu bentuk undi percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan menunjukkan tahap sokongan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Pada September lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru dan Muhyiddin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat. -Malaysiapost

Komen