Kes tembak anggota PGA: 15 suspek disambung reman

Kes tembak anggota PGA: 15 suspek disambung reman

PERINTAH tahanan reman terhadap 15 warga tempatan yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di tembok sempadan Malaysia-Thailand Selasa lalu, disambung reman mulai esok hingga Selasa depan.

Perintah sambung reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah di Kompleks Mahkamah Kangar pagi tadi selepas mendapat permohonan polis.

Perintah itu dikeluarkan selepas tempoh tahanan reman yang dikeluarkan sebelum ini terhadap 15 lelaki berkenaan yang berusia antara 19 hingga 37 tahun, tamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, berkata semua suspek akan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini bagi menjalani beberapa prosedur.

“Ini termasuk ujian darah dan juga saringan Covid-19 selain beberapa prosedur siasatan dalaman polis manakala tiga lagi suspek warga Thailand, tempoh reman mereka tamat minggu hadapan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas mengenai jumlah individu yang dipanggil bagi membantu siasatan, Saifudin berkata sehingga kini seramai 22 individu termasuk suspek yang ditahan kini sudah diambil keterangan.

Dalam kejadian serangan pada 3.10 pagi Selasa lalu di daerah ini, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi manakala rakannya Sarjan Norihan A/L Tari, 39, parah. -Malaysiapost

Komen