LKIM jamin bekalan ikan cukup menjelang musim tengkujuh

LKIM jamin bekalan ikan cukup menjelang musim tengkujuh

BEKALAN ikan seluruh negara dijamin mencukupi walaupun negara akan berdepan musim tengkujuh.

Pengerusinya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata pihaknya menyediakan bekalan protein itu menerusi stok simpanan ikan segar beku (Q-Fish) di Besut, Terengganu dan Kuala Kedah di Kedah.

“Menjelang musim tengkujuh ini, kerajaan memberi jaminan bekalan ikan mentah untuk seluruh negara mencukupi di mana LKIM menyediakan bekalan ikan beku ini di Besut dan Kuala Kedah.

“Untuk jangka masa panjang, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk membina lima korum atau tempat penyimpanan ikan sejuk beku dengan kapasiti 2,000 metrik tan setiap satu untuk LKIM membeli dan menyimpan sumber bekalan itu bagi menangani isu harga dan sumber bekalan ikan.” katanya.

Beliau berkata, sebagai usaha membantu golongan nelayan yang terjejas setiap kali tibanya musim tengkujuh, kerajaan juga dijangka akan meningkatkan bantuan elaun sara hidup dari RM250 ke RM300 bagi membantu meringankan beban mereka.

“Sebanyak 40,000 nelayan pantai layak menerima bantuan elaun sara hidup RM300 sebulan, manakala seramai 3,400 nelayan darat juga mendapat elaun sara hidup sebanyak RM250 seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2021, baru-baru ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen