Najib dipuji, penyokong PKR sedia pertahankan – Chegubard

Najib dipuji, penyokong PKR sedia pertahankan – Chegubard

SIKAP bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus berjuang membela rakyat telah menambat hati netizen.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin, berkata bekas Presiden Umno itu juga telah berjaya menghidupkan kembali kerjaya politiknya yang dilihat hampir mati sebelum ini.

Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard menjelaskan, Najib tidak mengalah meskipun berdepan pelbagai tohmahan dan ‘serangan’ politik daripada pihak lawan.

Dakwaan Chegubard ini terbukti apabila kerja keras Najib yang saban hari membela rakyat di media sosial telah mula membuahkan hasil.

Katanya, usaha Najib itu juga telah menerima sokongan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Tahniah Najib. Ramai menghina beliau sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun beliau tidak mudah menyerah. Beliau terus menyusun.

“Hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim menyucikannya. Penyokong Anwar bukan sekadar anggap beliau bukan musuh malah bersedia bertempur dengan sesiapa mencela Najib.

“Syed Saddiq dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang begitu hebat menghina Najib hari ini juga terpaksa mengadap Najib meminta nasihat,” katanya di Twitter, baru baru ini.

Dipercayai, kenyataan Chegubard ini ada kaitan dengan keputusan luar biasa Ahli Parlimen pembangkang yang membenarkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar dengan mudah Khamis lalu. -Malaysiapost

Komen