Pengadil bangga bantu gol sepanjang zaman Maradona

Pengadil bangga bantu gol sepanjang zaman Maradona

PENGADIL kontroversi dari Tunisia, Ali Nasser mengakui bangga kerana telah membantu Diego Maradona menjaringkan gol terbaik sepanjang zaman.

Bagaimanapun menurut Ali, 76, jaringan terbaik yang dimaksudkan itu bukanlah jaringan pertama yang dilakukan oleh Maradona dalam perlawanan yang berkesudahan Argentina menewaskan England pada peringkat suku akhir Piala Dunia 1986.

Sebaliknya, Ali menjelaskan, gol kedua yang dijaringkan Maradona selepas empat minit insiden gol ‘Hand of God’ berlaku adalah gol yang terbaik pernah disaksikan sepanjang beliau menjadi pengadil bolasepak.

Maradona meninggal dunia pada Rabu lalu ketika berusia 60 tahun, namun masih ramai bekas pemain England yang masih dihantui kenangan kelincahan bekas lagenda Argentina itu yang menggelecik bola dari kawasan sendiri sebelum menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Masih segar dalam ingatan, Ali menceritakan kepada BBC Sport mengenai gol kedua Maradona itu, “Dia memulakan larian dari midfield, dan saya mengikuti larian tersebut dengan rapat.

“Apabila anda mengadili perlawanan dengan pemain seperti Maradona, anda tidak dapat melarikan mata dan penglihatan anda dari tertumpu kepada mereka.

“Tiga kali mereka cuba menjatuhkannya, tetapi kerana keinginan untuk menang membuatkan beliau terus berlari.

“Setiap kali, saya menjerit ‘advantage’ sehingga lariannya sampai ke kotak penalti, katanya.

Menariknya, menurut Ali, dirinya telah menyaksikan Maradona memecut laju sejauh 50 meter dan kehairanan bagaimana pemain itu mampu melepasi kawalan tiga pemain England secara solo.

“Saya berfikir pemain lawan akan menjatuhkan beliau. Saya memang menunggu ia berlaku dan bersedia untuk meniup wisel untuk memberikan sepakan penalti.

“Tetapi beliau mengejutkan saya dengan menggelecek seorang lagi pemain pertahanan dan juga penjaga gol Peter Shilton untuk menjaringkan gol yang kita panggil ‘gol terbaik abad ini’, ujarnya.

Menurut Ali, gol itu mungkin tidak akan terjadi sekiranya beliau meniup wisel kerana Maradona telah beberapa kali dikasari pemain England.

“Saya bangga dan menganggap ia penghormatan kerana mengadili dan memainkan peranan membenarkan kejadian dan pencapaian bersejarah tersebut.

“Jika saya meniupkan wisel untuk memberikan foul setiap kali antara tiga kali beliau cuba dijatuhkan, kita tidak akan menyaksikan perkara luar biasa ini. Advantage yang saya berikan itu adalah antara perkara yang saya banggakan,” katanya.

Apabila Maradona mengunjungi Tunisia pada 2015, beliau sempat mengunjungi Ali di kediamannya.

“Saya berkata kepada dia, ia bukannya Argentina yang memenangi Piala Dunia pada tahun itu, ia adalah Maradona.

“Dia menjawab: ‘Jika ia bukan kerana anda, saya tidak akan mampu menjaringkan ‘gol terbaik abad ini’ itu.

“Beliau menghadiahkan saya jersi dengan tandatangan dengan tulisan ‘Para Ali mi Amigo Eterna’,” kata Ali.

Dalam pada itu, Ali juga menjelaskan gol pembukaan perlawanan yang dijaringkan menggunakan tangan oleh Maradona adalah sah berdasarkan undang-undang dan garis panduan Fifa kepada pengadil.

“Pada mulanya saya agak teragak-agak membenarkan gol, saya melihat ke arah Dochev (penjaga garisan), yang sudah berlari kembali ke garisan tengah, bermakna juga telah mengesahkan gol tersebut. Beliau tidak memberi isyarat gol tangan.

“Arahan yang Fifa berikan kepada kami sebelum perlawanan jelas sekali. Jika ada rakan lain berada di posisi lebih baik, maka kita harus menghormati apa yang beliau lihat,” katanya.

Perlawanan England menentang Argentina itu telah berlangsung di hadapan 115,000 penyokong yang memenuhi Stadium Estadio Azteca, Mexico. -Malaysiapost

Komen