Sri Pahang nama pilihan penyokong Tok Gajah

Sri Pahang nama pilihan penyokong Tok Gajah

NAMA Sri Pahang menjadi nama rasmi pasukan bola sepak Pahang selepas mendapat undian tertinggi dalam pertandingan yang diundi penyokong.

Pengurus pasukan itu, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata Sri Pahang mendapat lebih 2,000 undi, jauh meninggalkan Pahang FC dan Darul Makmur yang sekadar mendapat 30 hingga 50 undi sahaja.

Katanya, ia bermakna nama itu menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) dalam usaha melengkapkan pemisahan proses penswastaan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) itu akan kekal digunakan skuad Tok Gajah bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2021.

“Nama Sri Pahang telah mendapat undian terbanyak sepanjang peraduan yang diadakan.

“Sehingga kini saya sahkan nama Sri Pahang tetapi bagi logo, ianya sudah ada pemenang tetapi masih dalam proses ubah suai,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, PBNP telah mengumumkan pertandingan mencipta logo dan nama pasukan Pahang musim 2021 yang hanya terbuka kepada penyokong Pahang sahaja (kad pengenalan 06 dan 33).

Dalam perkembangan sama, pemenang bagi pertandingan yang dianjurkan oleh PBNP itu akan diumumkan dalam masa terdekat .

Pemenang bertuah bagi setiap kategori (sekiranya pemenang yang berbeza) bakal memenangi hadiah berupa wang tunai RM 4000 dan hadiah tambahan yang akan diumumkan.-Malaysiapost

Komen