Uncle Kentang enggan tolong ‘golongan susah’ pemalas

Uncle Kentang enggan tolong ‘golongan susah’ pemalas

KISAH aktivis kemasyarakatan, Uncle Kentang sering mendapat tempat di hati netizen kerana sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada individu dan keluarga yang dalam kesusahan.

Namun, pemilik nama Kuan Chen Heng ini tetap bertegas dan hanya akan membantu golongan yang betul-betul dilanda kesusahan sahaja. 

Uncle Kentang juga mengakui terdapat juga golongan yang mengambil kesempatan dengan berpura-pura mendakwa diri dan keluarga mereka sedang menderita kesusahan.

Berdasarkan pengalamannya, menurut Uncle Kentang, golongan yang berpura-pura susah ini enggan menceritakan situasi sebenar tahap kesusahan yang dihadapi mereka.

“Saya tak dapat jawab boleh (bantu) kerana kamu tak cerita keadaan kamu, anak kamu berapa orang.

“Tak cerita alamat kamu, tak cerita kamu bujang atau berkahwin, tak bagi salinan kad pengenalan suami untuk kami semak ada rekod kes dadah atau tidak.

“Maka jawapan saya ringkas, kerana kamu malas mahu cerita, saya pun malas mahu jawab. Jadi jawapan saya ialah tidak boleh,” ceritanya di Facebook, baru baru ini.

Beliau turut memuat naik tangkap layar mesej perbualannya dengan seorang individu yang meminta bantuan keperluan makanan dan susu anak, namun tidak menyatakan situasinya yang sebenar.

“Kalau nak minta bantuan, tulis sebab kamu minta bantuan, alamat kamu, dan mengapa kamu perlu dibantu.

“Kalau itu pun malas kamu nak tulis, maka kamu adalah jenis malas dan tak perlu dibantu,” tegasnya.

Hantaran Facebook miliknya itu telah mendapat reaksi lebih 1,900 netizen

Menjengah ke ruangan komen, rata rata netizen menyokong tindakan Uncle Kentang itu kerana melakukan tapisan setiap permohonan individu bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan kepada golongan susah yang layak sahaja.

Bagaimanapun, ada juga yang menasihati beliau untuk memperbaiki cara komunikasi agar dapat memberi peluang  kepada pemohon menjelaskan situasinya. -Malaysiapost

Komen