Bunuh diri: Tun M minta rakyat bersabar, tidak berputus asa hadapi Covid-19

Bunuh diri: Tun M minta rakyat bersabar, tidak berputus asa hadapi Covid-19

Muhammad Mustakim Ramli

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat negara ini supaya bersabar dan tidak berputus asa kerana terkesan dengan situasi buruk susulan penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, berita kejadian bunuh diri atau cubaan membunuh diri didapati berlaku hampir setiap hari, di mana ia berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mendapat tahu seramai 266 rakyat kita telah membunuh diri dan kejadian ini masih berterusan.

“Jumlah yang saya nyatakan itu berlaku antara bulan Mac sehingga Oktober. Ini bererti ia berlaku semasa PKP,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Beliau meminta supaya seluruh rakyat negara ini untuk bersabar dan kekal bersemangat dalam menghadapi cabaran ketika ini.

“Memang dalam menghadapi cabaran yang sebegitu besar dan berat ini, ada yang merasa hilang harapan dan semangat kerana beban yang digalas itu begitu perit dan pedih.

“Saya menyeru agar kita semua dapat bersabar dan tabah mengharungi cabaran ini. Memang benar betapa berat mata memandang lebih berat bahu memikul.

“Saya percaya kita akan dapat atasi cabaran ini kerana Tuhan tidak menduga kita jika kita tidak berupaya menghadapinya,” katanya. -Malaysiapost

Komen