Covid-19: Kuala Lumpur catat kes tertinggi

Covid-19: Kuala Lumpur catat kes tertinggi

Muhammad Mustakim Ramli

WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan jumlah kes positif tertinggi dalam negara iaitu sebanyak 493 kes daripada 1,309 kes yang dilaporkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah yang direkodkan di Kuala Lumpur itu 473 kes atau 95.9 peratus adalah kluster di tapak pembinaan.

“Jumlah kes tertinggi diikuti oleh Sabah sebanyak 290 kes dan Selangor sebanyak 238 kes.

“Sehingga kini, terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 357 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata terdapat empat kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Sungai Mulia di Kuala Lumpur; Kluster Batu Lima di Sabah; Kluster Yayasan di Selangor dan Kluster Hilir di Kelantan.

“Sehingga 29 November, terdapat sebanyak 359 kluster telah dilaporkan termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 176 kluster termasuk satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Megah.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 183 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak49 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Awan Baru (367 kes), Kluster Bintang (76 kes) dan Kluster Bayam Indah (52 kes),” katanya. -Malaysiapost

Komen