Dari seorang ‘pilot’ kini penjual burger

Dari seorang ‘pilot’ kini penjual burger

Nilam Oshman

DARI seorang juruterbang kini menjadi usahawan burger. Namun, Muhammad Naeem, tidak berputus asa selepas diberhentikan kerja akibat kesan pandemik Covid-19.

Beliau kini membuka sebuah kedai tepi jalan ‘Smashed Burger’ di Bukit Jelutong, Shah Alam berhampiran Nasi Kandar Bistro Zubair.

Muhammad Naeem berkata, dia telah berkhidmat sebagai juruterbang selama enam tahun dan diberhentikan sekitar April lalu.

Namun, ia langsung tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya beliau terus bangkit dengan menceburi dunia perniagaan burger.

“Saya merupakan seorang juruterbang dan berkhidmat selama enam tahun, bersama Malaysia Airlines dari 2014 hingga 2018 tapi telah berpindah ke Oman selama dua tahun dari 2018 hingga April 2020.

“Saya telah diberhentikan dan kini kembali ke Malaysia memulakan perniagaan ‘Smashed Burger’. Saya jual burger sekarang,” katanya menerusi video KL Foodie Facebook.

Operasi perniagaan bermula dari jam 5.30 petang hingga jam 11 malam.

Menurutnya, beliau mendapat inspirasi untuk membuat burger dari negara Oman.

“Saya dan isteri, masing-masing pencinta burger dan selalu cari mana tempat burger sedap di sana (Oman).

“Jadi, bila balik ke Malaysia, kami teringin burger di Oman dan dekat sini susah nak dapat.

“Saya mula mencari resipi burger Oman di internet, YouTube dan rancangan masakan untuk tahu cara memasak dan mencubanya di dapur,” katanya.

Katanya, kedainya menjual beberapa jenis burger termasuk Smash Burger.

“Ia cuma ‘single patty’ dengan daging Australia bersama cheese Amerika dan bawang karamel.

“Kedua, burger ‘super smashed’, ianya ‘double patty’ dan cheese seperti burger cheese berganda.

“Ketiga, ‘smashing beef bacon’ bersama cheese dan bawang karamel, di atasnya kita letak ‘smoked beef bacon’,” katanya.

Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada mereka yang turut kehilangan pekerjaan khususnya bidang penerbangan dan industri pelancongan.

“Kepada rakan sekerja dalam bidang penerbangan dan pelancongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini, saya katakan terus ke depan dan jangan berputus asa, terus berjuang serta berharap semuanya akan pulih seperti sedia kala” katanya. -Malaysiapost

Komen