Dr Noor Hisham ‘turun padang’ tinjau kawasan Kluster Tapak Bina Awan Baru

Dr Noor Hisham ‘turun padang’ tinjau kawasan Kluster Tapak Bina Awan Baru

Muhammad Mustakim Ramli

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah hari ini ‘turun padang’ meninjau aktiviti di lapangan bagi Kluster Tapak Bina Awan Baru.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius peningkatan kejadian penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja terutamanya di kalangan pekerja bukan warganegara.

Katanya, tenaga kerja adalah aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi dan ini termasuklah pekerja warganegara mahu pun bukan warganegara.

“Seperti yang KKM sering tekankan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di kalangan pekerja misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

“Memandangkan isu penularan Covid-19 di kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani, KKM menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan ianya tidak menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

Katanya, sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh pihak Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut.

Sementara itu, mengulas Kluster Tapak Bina Awan Baru, Noor Hisham berkata sehingga jam 8 malam, semalam seramai 482 individu telah disaring di mana 410 kes telah dilaporkan positif (positive rate 85.1%).

“Penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong pada 27 November 2020.

“Tapak bina ini telah ditutup di bawah seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 November 2020 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi,” katanya. -Malaysiapost

Komen