Ebit Lew ziarah Bob Lokman, beri kata semangat

Ebit Lew ziarah Bob Lokman, beri kata semangat

“TOLONG sangat sampaikan pada semua andai saya pergi saya nak minta maaf pada semua, saya sayang semua orang. Saya nak redha Allah,” kata pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 55. 

Pesanan Bob Lokman itu disampaikan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang berkesempatan menziarahi pelawak itu di rumahnya di Pasir Mas, Kelantan, hari ini. 

Ebit berkata, beliau berasa sayu melihat keadaan Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman yang sedang menanggung kesakitan.

“Sayu rasa hati tadi dari pembukaan Elewsmart terus terbang ke Pasir Mas, Kelantan ziarah Bob Lokman.

“Saya balik petang ini. Bila terbaca beliau memerlukan belanja untuk pembedahan jantung esok. Terharu sangat ustaz datang jumpa saya,” kata Ebit menerusi hantaran di Facebooknya. 

Ebit berkata, walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Bob Lokman masih memikirkan hal-hal kebajikan anak-anaknya di Madrasah.

“Beliau fikirkan juga anak-anak kecil yang masih madrasah.

“Tadi banyak berbual mengenai akhirat dan katanya teruskanlah ustaz membantu orang ramai,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau turut menyumbang  sumbangan kepada Bob Lokman.

“Bila beri sedikit belanja untuknya. Bob Lokman menangis jer tadi. 

“Kata saya segala ilmu, dakwah dan kebaikan Abang Bob Lokman selama ini Allah balas.

“InsyaAllah panjang umur selamat semuanya. InsyaAllah abang akan terus menyampaikan dakwah pada masyarakat,” katanya.

Pada 27 November lalu, Bob memohon sumbangan bagi menjalani pembedahan berkaitan jantungnya yang menelan belanja sekitar RM60,000.

Beliau merayu derma ikhlas untuk pemasangan Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD), iaitu  sejenis alat untuk mengawal degupan jantung. -Malaysiapost

Komen