Jangan anggap Umno kabilah kecil, ahli Bersatu berapa orang? – Puad

Jangan anggap Umno kabilah kecil, ahli Bersatu berapa orang? – Puad

Muhammad Mustakim Ramli

“MUHYIDDIN jangan anggap Umno kabilah kecil,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung Bersatu menyebut parti Melayu dan Islam perlu bersatu dalam sebuah jemaah besar tetapi Bersatu sendiri dalam kesukaran.

“Umno ada ahli seramai 3.7 juta orang. Ahli PAS pula lebih satu juta. Ahli Bersatu berapa orang?

“Tidak dinafikan mungkin jumlah ahli Umno berkurangan kerana kematian, tidak aktif dan melompat parti (termasuk 15 Ahli Parlimen yang masuk Bersatu).

“Tetapi Umno dan PAS bukan kabilah kecil. Permohonan ahli baru tetap bertambah sedangkan Bersatu menghadapi kesukaran untuk menubuh cawangan,” katanya di Facebook.

Puad berkata, mungkin Bersatu adalah kabilah kecil kerana sudah berpecah dua antara Bersatu Merah dan Bersatu Hitam.

“Niat Muhyiddin memang bagus iaitu demi mewujudkan kestabilan politik di Malaysia. Umno menyertai kerajaan PN (Perikatan Nasional) pun demi kestabilan politik.

“Umno juga sanggup menyokong (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) ketika Kerajaan PH (Pakatan Harapan) hampir tumbang. Sebab itu Muhyiddin tidak boleh manis di bibir.

“Gabungan besar tidak ada makna tanpa konsensus parti dan kejujuran politik. Itu yang diucapkan oleh Presiden Umno di Parlimen. Muhyiddin kena terima hakikat, ini adalah kerajaan majoriti lemah,” katanya.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyeru kepada semua pemimpin Melayu dan Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah PN.

Sebaliknya, jika berpecah belah, jelas Muhyiddin, seruan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.

“Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan mengajak saudara-saudari sekalian supaya melihat maslahah yang lebih besar, kepentingan yang lebih utama.

“Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah belah dalam kabilah-kabilah kecil yang melemahkan kita,” katanya. -Malaysiapost

Komen