Jawatan TPM hak Umno, Zahid wajar dilantik – Tajuddin

Jawatan TPM hak Umno, Zahid wajar dilantik – Tajuddin

JAWATAN Timbalan Perdana Menteri (TPM) sewajarnya menjadi hak Umno, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, ini kerana parti berkenaan memiliki kerusi paling banyak dalam kerajaan ketika ini.

“Jawatan TPM hak Umno. Kita sudah pun beralah kerana tidak mahu dilabelkan sebagai tamak kuasa. Saya sokong sebaik selesai belanjawan, PM (Perdana Menteri) perlu lantik pemimpin kanan Umno menjadi TPM.

“Sudah sampai masanya dan tidak boleh tunggu lagi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tajuddin berkata, pelantikan TPM perlu mengikut hierarki jawatan dalam parti itu dan perlu diberikan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Mestilah pemimpin ikut hierarki dan selalu diberi kepada ketua parti dan tentulah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa pelantikan beliau tiada masalah kerana kes mahkamah yang dihadapi belum diputuskan lagi,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut, Tajuddin berkata isu pelantikan jawatan itu memberi pelbagai persepsi terhadap kedua-dua parti iaitu Umno dan Bersatu.

“Isu ini akan memberi gambaran tidak elok kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu. Jangan ingat tidak lantik. Bersatu lebih berkuasa sebaliknya orang akan memandang Bersatu sebagai tidak berlaku adil.

“Jangan ambil mudah, rakyat perlu yakin dengan kita. Kalau Umno seperti melukut di tepi gantang, kita akan dipandang serong oleh rakyat dan Umno terlepas peluang meneruskan perjuangan parti dalam membela rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Komen