Keahlian Bersatu kini lebih setengah juta

Keahlian Bersatu kini lebih setengah juta

Muhammad Mustakim Ramli

JUMLAH keahlian semasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini adalah seramai 508,725 orang iaitu peningkatan lebih 100 peratus.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-3 menyaksikan sebanyak 171 bahagian serta 2,579 cawangan bersidang dan berdasarkan rekod, jumlah keahlian semasa Bersatu adalah sebanyak 508,725 ahli berbanding 222,980 ahli ketika PAT ke-2.

Katanya, selain daripada meluluskan usul-usul yang menyentuh aspek ekonomi, pendidikan dan sosial, para perwakilan telah sebulat suara meluluskan cadangan pindaan perlembagaan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

“Ia termasuklah pindaan perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baru Ahli Bersekutu.

“Pindaan perlembagaan tersebut bakal mengukuhkan lagi struktur organisasi dan kekuatan akar umbi Bersatu di semua peringkat, selain membuktikan keterbukaan dan keterangkuman parti meliputi aspek keahlian mahupun dasar parti,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, PAT ke-3 juga telah menentukan hala tuju Bersatu untuk mengukuhkan peranan dan penglibatan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Di samping itu ia juga membuktikan kesediaan kepimpinan parti untuk memperkasakan kerjasama politik antara parti-parti sekutu PN seperti BN (Barisan Nasional), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Bersatu mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan bersejarah semalam. 

“Bersatu yakin bahawa dasar-dasar yang telah dipersetujui dalam PAT ke-3 bakal meniupkan roh perjuangan yang segar dalam kalangan ahli-ahli untuk terus istiqamah dalam agenda membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya. -Malaysiapost

Komen