Padah ‘tumpangkan’ pokok pisang naik kereta

Padah ‘tumpangkan’ pokok pisang naik kereta

TINDAKAN seorang lelaki membawa sebatang pokok pisang ketika memandu di Skudai, Johor semalam mengundang padah apabila dia dikenakan saman trafik.

Malah, pemandu berusia 30 tahun itu turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi menyelesaikan kes-kes saman lampau yang berstatus waran tangkap dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,200.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kejadian jam 2 petang itu ia menjadi tular dalam media sosial sebelum tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, dalam video berdurasi 54 saat itu menunjukkan sebuah kereta Toyota Vios yang membawa sebatang pokok pisang dalam keadaan melintang sehingga menghalang pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis menghubungi pemilik kereta yang berada di Singapura itu pada jam 7.15 malam dan anak pemilik kenderaan berkenaan hadir ke balai polis menaiki kereta tersebut pada jam 8.30 malam.

“Berdasarkan keterangan lisan anak pemilik kereta itu, kenderaan tersebut dipandu oleh sepupunya yang membawa pokok pisang tersebut untuk tujuan upacara keagamaan di kawasan Mutiara Rini.

“Pada jam 9.30 pagi tadi, pemandu kereta Toyota Vios itu hadir ke Balai Polis Trafik Iskandar Puteri. Pemandu dikeluarkan saman di bawah Kaedah 20 LN 166/59 atas kesalahan membawa muatan dengan kenderaan yang tidak sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil pemeriksaan rekod saman lampau, pemandu itu memiliki 18 saman trafik termasuk empat waran tangkap dan 10 saman.

Katanya, kereta itu disita di bawah Sekyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta kenderaan dipandu tanpa lesen.

“Kereta itu disita sehingga pemilik sah kenderaan hadir untuk diambil tindakan selanjutnya,”katanya. -Malaysiapost

Komen