Pengusaha bas mohon kerajaan ambil tindakan terhadap syarikat kredit

Pengusaha bas mohon kerajaan ambil tindakan terhadap syarikat kredit

Muhammad Mustakim Ramli

PERTUBUHAN Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia mencadangkan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas ke atas syarikat kredit demi membela nasib syarikat bas persiaran yang terkesan akibat Covid-19.

Peguam dan wakil pertubuhan itu, Mahmud Abdul Jumaat, berkata 95 peratus dari syarikat bas persiaran yang membeli bas akan memohon pinjaman daripada syarikat kredit bagi membiayai pembelian bas persiaran.

Katanya, ia kerana pihak institusi kewangan seperti bank enggan untuk menawarkan pinjaman ke atas syarikat bas persiaran atas alasan ‘high risk loan’ .

“Syarikat kredit tidak bernaung di bawah Bank Negara Malaysia ataupun di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Padahnya, segala kelonggaran moratorium yang diumumkan oleh kerajaan tidak terpakai ke atas pihak syarikat kredit dan menjejaskan kira-kira 1,200 penguasaha bas.

“Secara umumnya, kebanyakkan syarikat bas persiaran tidak menjana sebarang pendapatan sejak pertengahan bulan Mac sehingga kini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Daerah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan,” katanya menerusi kenyataan.

Mahmud berkata, adalah wajar kerajaan mengawal selia syarikat kredit di bawah peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan atau menggubal akta seperti Akta Kredit Pengguna yang berkaitan dengan moratorium agar dapat memberi kelonggaran kepada syarikat bas persiaran di musim pandemik ini.

“Kerajaan juga perlu mencari inisiatif agar syarikat kredit itu dapat diletakkan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia atau pihak kementerian-kementerian lainagar moratorium yang diumumkan kerajaan dapat dimanfaatkan dan dikuatkuasakan ke atas pinjaman yang ditawarkan oleh pihak syarikat kredit.

“Kami mencadangkan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mempunyai kuasa dalam mengeluarkan lesen kepada syarikat kredit untuk berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini dengan mendengar keluhan syarikat bas persiaran demi membela nasib akibat terkesan dengan wabak ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen