Tyson, Jones sama liat

Tyson, Jones sama liat

PERLAWANAN pertunjukan kategori heavyweight membabitkan legenda sukan tinju, Mike Tyson dan Roy Jones Jr berakhir dengan keputusan seri.

Dalam aksi lapan pusingan itu, kedua-dua petinju itu lebih banyak mempamerkan aksi berpeluk berbanding bertumbuk antara satu sama lain.

Agensi melaporkan Tyson, 54, dilihat mencuba sedaya upaya untuk mempamerkan aksi agresif ketika bertinju tetapi akhirnya dilihat kepenatan.

Manakala Jones, 51, cuba memperoleh keputusan muktamad selain sering mengelak tumbukan padu daripada Iron Mike.

Selepas tamat perlawanan, Tyson berkata beliau berpuas hati dengan keputusan seri kerana dapat menghiburkan penonton.

“Saya amat gembira berada di sini di sebalik kata-kata orang terhadap saya. Tiada siapa yang menjangkakan saya mampu beraksi selama lapan pusingan.

“Tetapi anda harus sentiasa mencuba dan itulah sukan tinju,” katanya.

Seperti Tyson, Jones juga gembira kerana dapat turun beraksi dan mahu mengulangi lagi perlawanan itu.

“Kami perlu lakukannya sekali lagi. Semua orang menggemari Mike, begitu juga dengan saya.

“Ia adalah perlawanan yang sukar terutama untuk menepis tumbukan padu daripada Mike,” katanya. -Malaysiapost

Komen