Umno ada hak dapat jawatan TPM – Shahril

Umno ada hak dapat jawatan TPM – Shahril

UMNO berhak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bersandarkan komposisi parlimen parti itu.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata malah menjadi hak parti itu membincangkan isu tersebut pada ketika masa yang dirasakan sesuai.

Beliau berkata, Umno juga tidak terdesak sehingga terpaksa mendesak-desak atau merayu bagi mendapatkan jawatan berkenaan.

“Kalau ditawarkan, adakah Umno akan ambil? Ya, kenapa tidak?. Mudah dan moga dipermudahkan,” katanya ringkas dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin parti itu akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana Umno pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Bagaimanapun ketika mengulas isu sama, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan ahli Umno supaya tidak mendesak Perdana Menteri mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.

Zahid berkata, kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri. -Malaysiapost

Komen