Umno tetap mahu jawatan TPM – Ismail Sabri

Umno tetap mahu jawatan TPM – Ismail Sabri

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk diisi pemimpin parti itu akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana Umno pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, selain itu, tidak ada pemimpin Umno diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.

Justeru, katanya, perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan disegerakan selepas Belanjawan 2021 diselesaikan.

“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada Bersatu.

“Jadi adillah kalau Umno minta jawatan TPM dan wajar diberikan kepada Umno sebagaimana cadangan Biro Politik dan dipersetujui Majlis Tertinggi,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia. 

Ditanya siapakah pemimpin Umno layak mengisi jawatan itu, Ismail Sabri berkata, persetujuan parti adalah mengikut hierarki dengan mengutamakan lima pemimpin teratas bermula Presiden, Timbalan Presiden selain tiga Naib Presiden.

Beliau berkata, lima pemimpin itu boleh dipertimbangkan jika mengambil kira kedudukan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bukan ahli parlimen.

“Kita menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai (siapa yang sepatutnya layak). Bagi Umno, kita perlukan jawatan TPM tetapi orang yang berada di luar hierarki itu tidak wajar mengisi jawatan tersebut.

“Tidak boleh sesuka hati nak lantik sesiapa, kena hormat pendirian Umno. Jadi saya harap selepas Belanjawan, perkara ini dibincangkan semula,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu sama, Zahid mengingatkan pemimpin dan ahli Umno supaya tidak mendesak Perdana Menteri mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.

Zahid berkata, kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.

“Oleh yang demikian, spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincangkan secara umum walaupun memang diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu adalah hak perdana menteri.

“Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan perdana menteri,” katanya. 

Sebelum ini, ada ura-ura nama Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah turut disebut-sebut sebagai calon TPM. -Malaysiapost

Komen