2 lelaki cuba seludup keluar 3 PATI bersama 40 kotak durian ditahan

2 lelaki cuba seludup keluar 3 PATI bersama 40 kotak durian ditahan

CUBAAN dua lelaki warga tempatan menyeludup keluar tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama 40 kotak durian gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mereka ditahan menerusi Operasi Benteng oleh APMM Selangor di kedudukan 4.1 batu nautika barat daya Tanjung Gabang dekat Pelabuhan Klang, kira-kira jam 7.30 malam kemarin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot tersebut dipintas dan ditahan hasil maklumat risikan dan pengesanan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA).

Katanya, SWASLA mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran serta mencurigakan sedang menuju ke perairan antarabangsa.

“Ketiga-tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama dua warga tempatan berumur 19 hingga 56 tahun ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka juga disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana menyeludup durian tanpa permit import,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, APMM akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Selangor. – Malaysiapost

Komen