Ahli Parlimen blok kerajaan diarah berada di Dewan Rakyat

Ahli Parlimen blok kerajaan diarah berada di Dewan Rakyat

Fitri Nizam

[PARLIMEN] SEMUA Ahli Parlimen blok kerajaan diarah berada di Dewan Rakyat bermula tengah hari ini bagi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa.

Difahamkan, ia bagi berdepan sebarang kemungkinan berlaku undi belah bahagi sekali gus menyebabkan RUU peringkat jawatan bagi sesebuah kementerian tidak dapat diluluskan.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas RUU Perbekalan 2021 diluluskan menerusi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, menyatakan Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak akan memberi laluan mudah untuk ia diluluskan.

Beliau dilaporkan berkata, PH mengambil keputusan tidak memilih untuk undi belah bahagi bagi meluluskan RUU itu kerana ingin memberi tumpuan kepada perbahasan RUU peringkat jawatankuasa.

Katanya, pihaknya akan menentukan RUU itu diluluskan atau sebaliknya menerusi bacaan kali ketiga selepas sesi penggulungan oleh setiap kementerian bermula Isnin ini.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat dilanjutkan sejam sehingga jam 3 petang hari ini bagi membahaskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa.

Usul itu diluluskan sebulat suara selepas dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengikut peraturan Mesyuarat 12(1).

Ia disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bagi membolehkan sesi membahaskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi dua kementerian diselesaikan. -Malaysiapost

Komen