Arwah tiada harta – balu Zahir Armaya

Arwah tiada harta – balu Zahir Armaya

ARWAH tiada harta, dia sudah muflis, kata balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun.

Wanita berusia 31 tahun itu menjelaskan keadaan keadaan dirinya yang dituduh menafikan hak bapa mertuanya, A R Badul dalam kes pembahagian harta.

Katanya, mengenai pertikaian berkenaan insuran kelompok yang diterima, memang dia sudah menerimanya namun buat masa ini masih belum memberikannya kepada pihak bapa mertuanya lagi.

“Arwah suami memang sudah diisytihar muflis pada perkahwinan pertamanya. Jadi bila dia berkahwin dengan saya, dia memang tidak ada apa-apa harta. Tiada rumah, kereta atau pun motosikal.

“Berkenaan insuran kelompok yang dipertikai bapa mertua saya ini, memang saya sudah dapat. Cuma jumlahnya hanya RM5,000 lebih sahaja. Saya juga difahamkan yang difaraidkan adalah caruman arwah dan bukan ganjaran.

“Buat masa ini memang saya sudah bahagikan malah bahagian itu sudah saya beri kepada ibu mentua dan ibu angkat arwah suami saya.

“Duit anak-anak arwah juga saya simpankan dahulu. Cuma bahagian baba (A R Badul) saya masih belum ada kesempatan untuk beri memandangkan kami tidak lagi berhubung,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Ditanya hubungannya dengan A R Badul, Shafinar tidak nafikan mereka agak renggang selepas kematian suaminya.

Malah dia juga buntu dengan apa yang berlaku memandangkan ketika ini dia menerima pelbagai tuduhan tidak berasas.

“Memang ada pihak sana meninggalkan pesanan di telefon tetapi tidak perlu saya kongsikan secara terperinci, cuma apa yang boleh saya cakap perkara ini sangat memberi tekanan.

“Sebenarnya hubungan kami sebelum ini okey sahaja. Cuma selepas kematian suami kami tidak lagi berhubung. Malah bapa mentua juga langsung tidak bertanyakan khabar lagi,” katanya. – Malaysiapost

Komen