Covid-19: 70 peratus rakyat terima vaksin percuma

Covid-19: 70 peratus rakyat terima vaksin percuma

KERAJAAN menyasarkan 70 peratus rakyat akan menerima vaksin Covid-19 percuma bermula suku pertama 2021, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, keutamaan pemberian vaksin diberikan dahulu kepada petugas barisan hadapan kesihatan, anggota keselamatan dan golongan berisiko seperti warga emas.

Katanya, sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat perlu diberi vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

“Herd Immunity bermaksud baki 30 peratus bakal turut terlindung jika 70 peratus rakyat mempunyai perlindungan vaksin Covid-19.

“Baki 30 peratus tidak akan divaksinkan adalah kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dan mereka yang mempunyai masalah sistem imun tidak sesuai menerima vaksin.

“Seramai 10 peratus akan dibekalkan melalui inisiatif COVAX. Baki 40 peratus kerajaan sedang berunding dengan pembekal seperti Sputnik V, Moderna, Astrazeneca dan lain lain,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Ahmad Amzad berkata, setakat ini cuma vaksi keluaran Pfizer menyatakan komitmen boleh menghantarnya pada suku pertama 2021 manakala pembekal lain perlu menunggu sehingga suku keempat.

“Kesemua 12 vaksin Covid-19 yang berada di fasa 3 ujian klinikal telah diuji setiap satunya antara 20,000 hingga 90,000 orang sukarelawan di pelbagai negara di seluruh dunia termasuk di rantau ASEAN.

“Tidak benar dakyah kononnya vaksin ini hanya diuji kepada monyet dan tikus. Semua calon vaksin Covid-19 yang dinilai oleh Malaysia mempunyai laporan keberkesanan 90 peratus ke atas,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu dalam aspek pencarian vaksin yang diharuskan menurut hukum syarak.

“Setakat data yang kita ada, semua vaksin Covid-19 tidak mengandungi sel, kandungan yang berunsur porcine (babi) atau bovine (lembu).

“Baki 30 peratus bagi rakyat yang memilih untuk mendapatkan sendiri suntikan vaksin di hospital swasta boleh memohon pengecualian cukai atas perbelanjaan berkenaan terhad RM1,000 seorang,” katanya. – Malaysiapost

Komen